Mungkinkah suatu hari nanti akan ada pula program 1H1M - 1 Helmet 1 Motosikal?
Kota Kinabalu, 14 April - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diminta agar lebih aktif melaksanakan kempen kesedaran tentang keselamatan jalan raya terutama di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Lajim Ukin berkata, kajian mendapati bahawa hampir 60 peratus kematian akibat kemalangan jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Menurut beliau, suatu yang perlu diberi perhatian ialah peraturan memakai topi keledar dalam kalangan penunggang motosikal di luar bandar agak rendah berbanding di kawasan bandar dan pinggir bandar. "Mereka mungkin tidak sedar tentang kepentingan memakai topi keledar ini, kecuali takut disaman oleh anggota polis," kata Datuk Lajim Ukin.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Program Penggalakan Pemakaian Topi Keledar di Dewan Pa' Musa di sini semalam. "Keselamatan diri dan keluarga bermula daripada diri sendiri dan bukannya kerana ada polis atau penguat kuasa, baru kita mahu mengikut peraturan jalan raya," ujarnya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang selamat dan sempurna sebelum memulakan perjalanan ke sesuatu destinasi.